Wednesday 27 July 2011

ALLAH KUASA MAKLUK TIADA KUASA

Segala puji-pujian tertuju bagi Allah....

Sahabat yang disayangi, moga-moga sentiasa di bawah naungan rahmat Allah dan terima kasih kerana memberi kesedaran untuk memuatkan coretan ini. Moga coretan ini memberi manfaat kepada diri saya dan sekalian sahabat. Bukan sebaliknya...

Ungkapan ‘Allah kuasa makluk tiada kuasa’ adalah satu ungkapan yang besar. Dalam meletakkan maksud untuk ungkapan ini umat Islam telah berpecah kepada berapa kelompok pemahaman yang semuanya salah dan sesat kecuali satu iaitu kelompok atau golongan ahlulsunnah waljamaah.

Ungkapan ini membahaskan sifat ke-7 dalam sifat 20 iaitu sifat Qudrat. Maksud qudrat ialah kuasa. Allah berkuasa membawa maksud hanya Allahlah mampu mengadakan sesuatu dan mentiadakan sesuatu. Hanya Allahlah yang memberi bekas pada alam ini. Makluk tidak berkuasa pula membawa maksud sebaliknya.

Permasalahan.. Bolehkah ungkapan ini diucapkan?, jawapannya boleh, sekiranya ucapan ini diucapkan dengan niat untuk mengajar dan belajar  tentang tauhid. Tauhid adalah ilmu yang dipegang kukuh dalam hati bukan ucapan yang dicakapkan dalam hidup seharian kerana itu hanya dibolehkan memperkatakannya pada maqam belajar dan mengajar dan selain itu menjadi haram. Tetapi yang akan menjadi masalah utama jika tiada penerangan yang tepat tentang maksud ungkapan ini sewaktu mengajarkannya, kerana kita takut kelak kita bukan memperbaiki iman orang tapi merosakkannya pula. Atas sebab itu ulama mensyaratkan setiap orang yang berdakwah (orang yang bercakap dikhayalak ramai) wajiblah menguasai ilmu tauhid yang mendalam agar tidak berhujah dengan akal yang sejengkal kerana pasti merosakkan agama. Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita renungkan sejenak berapa rapuhnya iman kita yang kadan-kadang hancur sendiri sedangkan belum dicuba lantaran kita tidak mempunyai ikatan akidah yang kukuh. Tuntutlah ilmu tentang Allah.. Bukan kerana hendak mengenal zatnya kerana memang tidak dapat dikenal  tetapi untuk tidak mengingkari kewujudannya dalam zahir dan batin kita. Di saat kita beriman sebenar  dengannya kita akan merasa ramai walaupun seorang, merasa terhibur walaupun sunyi, merasa berteman disaat sepi,..... memadailah dengan dia.
Sahabat disayangi, Dibawah ini terdapat beberapa faham mengenai ungkapan ‘allah kuasa makluk tiada kuasa’ yang berbeza-beza fahamnya dan hanya satu yang tepat telah saya yang kerdil ini petik dari nota lama dirujuk dari kitab Fathul Majid Syarah ad-Dunnil Farid Fi Aqa’idi Ahlit Tauhid karangan as-Syaik Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi as-Syafieyyi (m/s 19)

1)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan disebabkan kehendaknya sendiri (zat dirinya) maka dia jadi kafir.
Cth: Mengatakan api boleh membakar kerana api itu memang boleh membakar dan zat kejadiannya yang panas membolehkan ia membakar. (contoh ini membawa maksud orang yang mengitikadkan dalam hatinya bahwa makluk mempunyai kuasa tertentu kerana zatnya begitu)

2)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan disebabkan Allah beri kuasa kepadanya dan jika Allah tarik tiada lagi kuasa itu maka orang yang beriktikad seperti ini menjadi fasiq dan ahli bidaah (sepakat sekalian ulama).
Cth: Mengatakan api boleh membakar kerana allah bagi kuasa membakar pada api dan sekiranya Allah mengambil balik api tidak dapat membakar lagi maka orang yang beriktikad seperti ini jadi fasiq dan ahli bidaah. (contoh ini membawa maksud Allah berhajat kepada makluk untuk menjadikan sesuatu. Lemahlah Allah sekiranya memerlukan api untuk membakar)

3)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan untuk mengadakan dan mentiadakan dengan izin Allah maka terdapat dua pendapat ulama yakni Imam Sanusi dan Ibnu Arabi mengatakan kafir dan yang lain mengatakan fasiq dan ahli bidaah. Tetapi paling sah ialah fasiq dan ahli bidah.
Cth: Mengatakan api boleh membakar dengan izin Allah. (contoh ini membawa kepada maksud contoh-contoh terdahulu. Jika izin itu difaham Allah izinkan dan api membakar dengan sifat dan zatnya yang sememangnya boleh membakar itu kafir, tetapi jika izain itu difaham allah campak atau bagi kuasa pada api maka menjadi fasiq dan ahli bidaah.

4)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) tidak dapat beri kesan dengan dirinya sendiri dan tidak ada kuasa baginya untuk memberi kesan melainkan hanyalah Allah yang menjadikan segalanya tetapi mesti diterima akal  yakni mengikut hukum adat maka tiada kafir dengan ijmak ulamak tapi boleh kafir jika ingkar dengan kebangkitan jasad di akhirat ataupun mukjizat.
Cth: Mengatakan api tidak boleh membakar sebenarnya tetapi Allahlah yang membakar akan tetapi Allah telah menetapkan setiap yang kena api pasti terbakar maka tidak boleh tidak pasti terbakar jika terkenanya.(contoh ini membawa kepada maksud setiap perkara mengikut hukum adat masing-masing tetapi bagaimana pula mukjizat nabi Ibrahin yang tidak terbakar api)

5)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) tidak dapat memberi kesan dan tidak ada kuasa baginya untuk memberi kesan dan hanyalah Allah yang menjadikan segalanya dan Allah telah menetapkan sesuatu pada adatnya seperti api kelihatan seolah-olah membakar, pisau kelihatan seolah-olah memotong dan sebagainya lagi dan Allah juga boleh menjadikan adakalanya bersalahan seperti kadang-kadang sebab tidak memberi musabab atau boleh juga memberikan musabab sebaliknya. Lantaran sebab dan musabab ini Allah jua yang jadikan maka ini adalah ahli tauhid.
Cth: Mengatakan api tidak boleh membakar tapi Allahlah yang membakar dan adakalanya Allah tidak membakar dengan api seperti mukjizat Nabi Ibrahim. Ini kerana api dan membakar keduanya Allah yang jadikan oleh kerana itu hak mutlak Allah untuk menjadikannya sebagaimanapun. (Contoh inilah aqidah tauhid yang sebenar kerana sememangnya Allah itu tidak terikat dengan sesuatu pun untuk memberi bekas atas sesuatu)

Tetapi harus diingat ucapan tauhid hanya untuk belajar dan mengajar bukan digunakan untuk gurauan dalam urusan seharian seperti bila terdengar sahabat kita mengatakan “sejuknya angin ini” dan kita menjawab “yang menyejukkan adalah Allah bukan angin” maka ucapan kita adalah haram dan berdosa kerana tidak kena pada tempatnya. Ilmu tauhid merupakan pegangan dalam hati bukannya bahan pertengkaran apatah lagi gurauan.
Lantaran kekerdilan, sahabatmu ini yang sentiasa mengharapkan doa dari sekalian sahabat agar Allah memakaikan hamba dengan pakaian faqir, hina, daif dan lemah agar sentiasa dapat berteduh di bawah naungan rahmat Allah.

2 comments:

  1. Salam'alaik ya sahabat yg dikasihi ALLAH S.W.T,

    Subhanallah! pencerahan yang sangat baik dari sahabat, alhamdulillah, sgt2 memerlukannya..ia sgt berguna buat ana yg masih lagi dhaif ilmu ini, syukur pada ALLAH atas nikmat kurniaan ini...

    syukran ya sahabat :-)
    Moga sentiasa dalam lindungan-Nya ALLAH S.W.T..aamiin

    ReplyDelete
  2. tima ksh sgt2 atas sokngan shbt..

    ReplyDelete


ShoutMix chat widget