Wednesday 27 July 2011

MARHABAN YA RAMADHAN

MARHABAN YA RAMADHAN

HADIRMU MEMBAWA SERIBU MAKNA DALAM KEHIDUPAN

PUJI-PUJIAN BAGI ALLAH ATAS RAHMATMU YA TUHAN...


Bulan Ramadhan merupakan penghulu segala bulan.. Bulan keberkatan. Kedatangannya merupakan satu anugerah yang besar kepada seluruh umat Islam Banyak-banyak bersyukur kami  kepadamu Ya Allah.. yang menganugerahkan kami dengan pelbagai nikmat dan rahmat. Moga kami diberkati dan diberkati dengan limpahan demi limpahan rahmatmu yang Maha Luas oh.. Tuhan.

Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan hadratmu Ya Allah..
Demi Mu.. Hanya engkaulah cinta kami Ya Allah dan biarkanlah selamanya begitu, Ya Allah jangan engkau langkahkan kaki kami atau tidak engkau langkahkannya melainkan sentiasalah kami berada dalam taat dan menuntut redhamu semata...

Tuhanku engkaulah maksudku tiada yang lain dan  redhamu  yang ku tuntut tiada yang lain...

Sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah, insyaallah.. Di antara kelebihan bulan yang dinamakan Ramadhan ini serba sedikitnya adalah seperti berikut:-

Bila tiba malam pertama Ramadhan maka bertiuplah angin dari bawah arasy meniup daun-daun syurga dan pintu-pintunya maka terhasillah irama dari tiupan itu yang merdunya tiada tolak bandingan lagi. Berhiaslah segala bidadari dengan kecantikan yang tiada tandingan sambil bertanya, Siapakah yang hendak meminang kami dari Allah? Diperintahkan oleh Allah agar dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka bagi Umat Nabi Muhammad SAW yang berpuasa.

Di permulaan Ramadhan ini juga Allah perintahkan Jibril turun ke bumi untuk membelengu syaitan dan dilontarkan ke lautan supaya tidak dapat membinasakan puasa umat kekasihnya iaitu Umat Nabi SAW

Setiap malam Bulan Ramadhan Allah berfirman tiga kali iaitu, adakah ada orang yang meminta? Nescaya akan aku berikan, adakah ada orang yang bertaubat? Nescaya aku terima, Adakah ada orang yang meminta ampun? Nescaya aku ampunkan dia.

Setiap hari pada Bulan Ramadhan tatkala berbuka puasa Allah SWT akan memerdekakan seribu-ribu Umat Muhamad SAW padahal sudah diwajibkan bagi mereka neraka.

Setiap saat hari Jumaat siang dan malam pada Bulan Ramadhan Allah memerdekakan seribi-ribu lagi dari neraka walhal telah wajib bagi mereka neraka itu.

Di saat akhir Bulan Ramadhan Allah memerdekakan pada hari itu sebilang-bilangan orang yang dimemerdekakan dari awal hingga akhir Ramadhan.

Paling istimewa di dalam Bulan Ramadhan turut terdapat satu malam yang dipanggil lailatul qadar. Beribadat di malam itu lebih baik daripada beribadat selama 1000 bulan yang di dalamnya tiada lailatul qadar. Selain itu di dalam bulan Ramadhan juga terdapat solat sunat terawih yang tiada di bulan lain.

Begitulah sedikit yang dapat ditulis di sini daripada begitu besar keistimewaan Bulan yang penuh keberkatan ini. Terima kasih Ya Allah atas kurnian ini.. Alhamdulillah...

ALLAH KUASA MAKLUK TIADA KUASA

Segala puji-pujian tertuju bagi Allah....

Sahabat yang disayangi, moga-moga sentiasa di bawah naungan rahmat Allah dan terima kasih kerana memberi kesedaran untuk memuatkan coretan ini. Moga coretan ini memberi manfaat kepada diri saya dan sekalian sahabat. Bukan sebaliknya...

Ungkapan ‘Allah kuasa makluk tiada kuasa’ adalah satu ungkapan yang besar. Dalam meletakkan maksud untuk ungkapan ini umat Islam telah berpecah kepada berapa kelompok pemahaman yang semuanya salah dan sesat kecuali satu iaitu kelompok atau golongan ahlulsunnah waljamaah.

Ungkapan ini membahaskan sifat ke-7 dalam sifat 20 iaitu sifat Qudrat. Maksud qudrat ialah kuasa. Allah berkuasa membawa maksud hanya Allahlah mampu mengadakan sesuatu dan mentiadakan sesuatu. Hanya Allahlah yang memberi bekas pada alam ini. Makluk tidak berkuasa pula membawa maksud sebaliknya.

Permasalahan.. Bolehkah ungkapan ini diucapkan?, jawapannya boleh, sekiranya ucapan ini diucapkan dengan niat untuk mengajar dan belajar  tentang tauhid. Tauhid adalah ilmu yang dipegang kukuh dalam hati bukan ucapan yang dicakapkan dalam hidup seharian kerana itu hanya dibolehkan memperkatakannya pada maqam belajar dan mengajar dan selain itu menjadi haram. Tetapi yang akan menjadi masalah utama jika tiada penerangan yang tepat tentang maksud ungkapan ini sewaktu mengajarkannya, kerana kita takut kelak kita bukan memperbaiki iman orang tapi merosakkannya pula. Atas sebab itu ulama mensyaratkan setiap orang yang berdakwah (orang yang bercakap dikhayalak ramai) wajiblah menguasai ilmu tauhid yang mendalam agar tidak berhujah dengan akal yang sejengkal kerana pasti merosakkan agama. Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita renungkan sejenak berapa rapuhnya iman kita yang kadan-kadang hancur sendiri sedangkan belum dicuba lantaran kita tidak mempunyai ikatan akidah yang kukuh. Tuntutlah ilmu tentang Allah.. Bukan kerana hendak mengenal zatnya kerana memang tidak dapat dikenal  tetapi untuk tidak mengingkari kewujudannya dalam zahir dan batin kita. Di saat kita beriman sebenar  dengannya kita akan merasa ramai walaupun seorang, merasa terhibur walaupun sunyi, merasa berteman disaat sepi,..... memadailah dengan dia.
Sahabat disayangi, Dibawah ini terdapat beberapa faham mengenai ungkapan ‘allah kuasa makluk tiada kuasa’ yang berbeza-beza fahamnya dan hanya satu yang tepat telah saya yang kerdil ini petik dari nota lama dirujuk dari kitab Fathul Majid Syarah ad-Dunnil Farid Fi Aqa’idi Ahlit Tauhid karangan as-Syaik Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi as-Syafieyyi (m/s 19)

1)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan disebabkan kehendaknya sendiri (zat dirinya) maka dia jadi kafir.
Cth: Mengatakan api boleh membakar kerana api itu memang boleh membakar dan zat kejadiannya yang panas membolehkan ia membakar. (contoh ini membawa maksud orang yang mengitikadkan dalam hatinya bahwa makluk mempunyai kuasa tertentu kerana zatnya begitu)

2)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan disebabkan Allah beri kuasa kepadanya dan jika Allah tarik tiada lagi kuasa itu maka orang yang beriktikad seperti ini menjadi fasiq dan ahli bidaah (sepakat sekalian ulama).
Cth: Mengatakan api boleh membakar kerana allah bagi kuasa membakar pada api dan sekiranya Allah mengambil balik api tidak dapat membakar lagi maka orang yang beriktikad seperti ini jadi fasiq dan ahli bidaah. (contoh ini membawa maksud Allah berhajat kepada makluk untuk menjadikan sesuatu. Lemahlah Allah sekiranya memerlukan api untuk membakar)

3)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) dapat beri kesan untuk mengadakan dan mentiadakan dengan izin Allah maka terdapat dua pendapat ulama yakni Imam Sanusi dan Ibnu Arabi mengatakan kafir dan yang lain mengatakan fasiq dan ahli bidaah. Tetapi paling sah ialah fasiq dan ahli bidah.
Cth: Mengatakan api boleh membakar dengan izin Allah. (contoh ini membawa kepada maksud contoh-contoh terdahulu. Jika izin itu difaham Allah izinkan dan api membakar dengan sifat dan zatnya yang sememangnya boleh membakar itu kafir, tetapi jika izain itu difaham allah campak atau bagi kuasa pada api maka menjadi fasiq dan ahli bidaah.

4)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) tidak dapat beri kesan dengan dirinya sendiri dan tidak ada kuasa baginya untuk memberi kesan melainkan hanyalah Allah yang menjadikan segalanya tetapi mesti diterima akal  yakni mengikut hukum adat maka tiada kafir dengan ijmak ulamak tapi boleh kafir jika ingkar dengan kebangkitan jasad di akhirat ataupun mukjizat.
Cth: Mengatakan api tidak boleh membakar sebenarnya tetapi Allahlah yang membakar akan tetapi Allah telah menetapkan setiap yang kena api pasti terbakar maka tidak boleh tidak pasti terbakar jika terkenanya.(contoh ini membawa kepada maksud setiap perkara mengikut hukum adat masing-masing tetapi bagaimana pula mukjizat nabi Ibrahin yang tidak terbakar api)

5)      Sesiapa yang percaya sesuatu sebab (makluk) tidak dapat memberi kesan dan tidak ada kuasa baginya untuk memberi kesan dan hanyalah Allah yang menjadikan segalanya dan Allah telah menetapkan sesuatu pada adatnya seperti api kelihatan seolah-olah membakar, pisau kelihatan seolah-olah memotong dan sebagainya lagi dan Allah juga boleh menjadikan adakalanya bersalahan seperti kadang-kadang sebab tidak memberi musabab atau boleh juga memberikan musabab sebaliknya. Lantaran sebab dan musabab ini Allah jua yang jadikan maka ini adalah ahli tauhid.
Cth: Mengatakan api tidak boleh membakar tapi Allahlah yang membakar dan adakalanya Allah tidak membakar dengan api seperti mukjizat Nabi Ibrahim. Ini kerana api dan membakar keduanya Allah yang jadikan oleh kerana itu hak mutlak Allah untuk menjadikannya sebagaimanapun. (Contoh inilah aqidah tauhid yang sebenar kerana sememangnya Allah itu tidak terikat dengan sesuatu pun untuk memberi bekas atas sesuatu)

Tetapi harus diingat ucapan tauhid hanya untuk belajar dan mengajar bukan digunakan untuk gurauan dalam urusan seharian seperti bila terdengar sahabat kita mengatakan “sejuknya angin ini” dan kita menjawab “yang menyejukkan adalah Allah bukan angin” maka ucapan kita adalah haram dan berdosa kerana tidak kena pada tempatnya. Ilmu tauhid merupakan pegangan dalam hati bukannya bahan pertengkaran apatah lagi gurauan.
Lantaran kekerdilan, sahabatmu ini yang sentiasa mengharapkan doa dari sekalian sahabat agar Allah memakaikan hamba dengan pakaian faqir, hina, daif dan lemah agar sentiasa dapat berteduh di bawah naungan rahmat Allah.

Sunday 24 July 2011

ADAB SUAMI ISTERI

  • Membuat jamuan perkahwinan selepas akad nikah dan sebaiknya selepas hubungan bersama.
  • Hendaklah suami dan isteri sabar dalam menanggung kesakitan akibat kekurangan yang ada pada  diri pasangan masing-masing dan berusaha mengekalkan kasih sayang. Yang terpenting janganlah cepat marah.
  • Hendaklah suami isteri itu sentiasa bergurau senda dan bermain-main untuk membaikkan hati seperti sabda Nabi SAW “ Yang terlebih sempurna iman seorang mukmin adalah orang yang paling baik dan paling mengasihi isteri dan ahli keluarganya.
  • Hendaklah suami dalam bergurau senda memelihara dirinya bagi menjaga penghormatan ahlinya. Melalui cara pertengahan. Dimaksudkan dengan pertengahan tidak lalai dan leka menegur ahlinya sekiranya terdapat perkara yang dilakukan melanggar hukum hakam agama.
  • Hendaklah juga lelaki pertengahan dalam cemburu. Maksud pertengahan adalah janganlah suami sampai membiarkan lelaki jahat bercakap-cakap dengan isteri atau masuk kedalam rumahnya. Tetapi janganlah suami terlalu cemburu hingga mengguris hati isteri kerana dirasanya suami tidak mempercayainya sedangkan dia jujur terhadap suami. Sesungguhnya Allah SWT membenci suami yang terlalu cemburu pada isteri tanpa sebab yang menimbulkan syak.
  • Menjadi kewajipan bagi suami mempelajari ilmu tentang hukum hakam dan mengajarkan isterinya seperti iktikad ahlulsunnahwaljamaah, permasalahan haid isterinya dan perkara yang bersangkut dengan halal dan haram.
  • Wajib bagi suami yang mempunyai lebih dari satu isteri berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
  • Jika berlaku perselisihan antara suami isteri hendaklah dilantik seorang wakil dari pihak suami dan seorang wakil dari pihak isteri untuk mendengar perselisihan itu. Wakil-wakil tersebut akan berbincang mencapai kata sepakat dan membuat keputusan atas perselisihan itu.
  • Akhir sekali, hendaklah suami isteri memelihara adab-adab ketika hubungan bersama suami isteri mengikut adab-adab jimak yang ditetapkan agama.
Insyaallah, bersama-samalah kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam.. Moga kegemilangan Islam akan bersinar kembali..

Monday 18 July 2011

ADAB MEMILIH CALON ISTERI ATAU CALON SUAMI

Di dalam persoalan memilih calon adalah menjadi tanggungjawab bagi wali keatas anaknya atau terhadap saudaranya yang perempuan  bagi memastikan calon suami yang dipilih khasnya memenuhi tertib di bawah yakni memastikan calon yang dipilih adalah dari kalangan lelaki yang takut pada Allah. Barangsiapa mempersuamikan anak atau saudaranya dengan orang yang fasiq maka telah memutuskan olehnya akan rahim kerabatnya. Seeungguhnya berdosalah kerana haram hukumnya bagi wali yang memutuskan rahim itu. Antara ciri-ciri calon yang dipilih ialah:-
  • Pilihlah calon yang mempunyai agama yakni takut pada Allah dan banyak beribadat serta meninggalkan perkara yang diharam.
  • Pilihlah calon yang mempunyai perangai yang baik dan lidah yang baik yakni mempunyai akhlak yang mulia, bersopan santun dan berbudi bahasa.
  • Pilihlah calon yang mempunyai rupa paras yang menarik bagi mengawal  nafsu daripada tertarik terhadap orang yang berpakaian dan berperangai tidak baik. Tetapi utamakanlah yang beragama kerana keagamaannya akan dapat menjinakkan dan menyejukkan hati kita bila memandangnya.
  • Pilihlah calon isteri yang mas kawinnya tidak sampai membebankan calon lelaki.
  • Pilihlah calon isteri dari keturunan yang mempunyai ramai anak. Perempuan yang mempunyai ramai anak adalah berkat. Sesungguhnya Nabi SAW berbangga dengan ramai umatnya di akhirat nanti.
  • Pilihlah calon isteri yang terutama dari kalangan anak dara.
  • Pilihlah calon yang dari keturunan yang baik yakni dari keturunan yang memelihara agama.
  • Pilihlah calon yang bukan dari kerabat yang hampir bagi mengembangkan zuriat dan kecerdikan dan mengelakkan anak mewarisi penyakit keturunan.
Diriwayatkan pada suatu hari seorang lelaki telah bertanya kepada Hassan al Basri ra tentang anak perempuannya yang telah dipinang oleh orang dan bagaimana untuk dia menetapkan siapa yang harus dipilih sebagai teman hidup anaknya. Maka dijawab oleh Hassan al Basri ra agar dipilih seorang lelaki yang takut akan Allah kerana jika ia mencintai anak lelaki tersebut nescaya dia akan memuliakan anaknya itu dan sekiranya  dia benci tidak dia menghina anakmu itu.

Monday 4 July 2011

ADAB NABI MUHAMMAD SAW

Nabi Muhammad SAW diutuskan ALLAH sebagai pembawa rahmat untuk seluruh alam dan bagi menyempurnakan akhlak manusia untuk itu maka beliaulah selayaknya menjadi contoh teladan paling sempurna untuk diikuti oleh sekalian umat manusia. Di antara adab Nabi SAW:-
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah bercakap kesat mahupun kasar terhadap sesiasapa jua baik orang Islam mahupun Bukan Islam. Baginda juga tidak pernah mengeluarkan perkataan kasar terhadap musuhnya walaupun di medan perang.
  • Sesungguhnya Nabi SAW apabila diminta agar memohon kepada Allah untuk diturunkan musibah kepada sesiapa jua orang Islam ataupun Bukan Islam baginda bukan saja menolaknya malahan mendoakan kebajikan bagi mereka.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah memukul manusia melainkan di dalam peperangan kerana Allah.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah marah walaupun sekali terhadap apa bentuk penganiayaan atau celaan orang ke atasnya melainkan jika perkara yang dilakukan melanggar hukum Allah.
  • Sesungguhnya Nabi SAW amat memelihara hubungan silatulrahim serta berkasih sayang dan baginda menolak sama sekali pekerjaan yang akan memutuskan hubungan kasih sayang tersebut.
  • Sesungguhnya Nabi SAW akan berusaha sedaya upaya menunaikan segala hajat orang yang meminta kepadanya tanpa mengira sesiapapun walau dari golongan hamba.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah mencela pekerjaan atau perbuatan sahabat yang tidak disukainya tapi hanya menyuruh sahabat itu meninggalkan perbuatan tersebut.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak memilih tempat untuk tidur. Jika ada hamparan baginda tidur di atas hamparan dan jika tiada baginda tidur diatas tanah.
  • Sesungguhnya telah tertulis dalam taurat bahawa Nabi SAW adalah seorang yang tidak keras perkataannya, tidak keras hatinya, tidak menguatkan suara di pasar dan membalas setiap kejahatan orang kepadanya dengan kebaikan dan kemaafan.
  • Sesungguhnya telah tertulis dalam injil bahawa Nabi SAW akan memulai memberi salam bila bertemu dengan orang, Jika ada sesiapa yang membantu untuk menunaikan hajatnya ia akan sabar bersama orang itu sehingga orang itu menarik diri baru baginda ikut menarik diri dan jika seseorang memegang tangannya akan dipegang tangan orang itu hingga orang itu meleraikan tangannya dahulu.
  • Sesungguhnya Nabi SAW apabila berjumpa dengan sahabatnya bagindalah yang terlebih dahulu menghulur tangan untuk berjabat salam dan baginda akan mennggenggam erat tangan sahabatnya itu.
  • Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa membanyakkan zikir Allah pada setiap perbuatannya tidak kira duduk atau berdiri.
  • Sesungguhnya Nabi SAW akan mempercepatkan solatnya sekira baginda tahu ada orang menunggunya dan kembali bersolat setelah menunaikan hajat orang itu.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah melunjurkan kaki dihadpan sahabatnya dan kebanyakkan duduknya menghadap kiblat.
  • Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa memuliakan orang yang datang kepadanya sehingga baginda menghamparkan kain sebagai alas duduk orang tersebut.
  • Sesungguhnya Nabi SAW akan memberi sesuatu dengan bersungguh-sungguh hingga diterima oleh orang yang hendak diberi.
  • Sesungguhnya Nabi SAW apabila berada di dalam sesuatu majlis akan melayan sahabatnya dengan seelok-elok kelakuan sehingga setiap orang merasakan dirinya yang paling dimuliakan Rasullullah.
  • Sesungguhnya Nabi SAW paling sukar marah dan paling cepat redha dan memafkan manusia.
  • Sesungguhnya Nabi SAW paling berkasih sayang, paling banyak berbuat kebajikan, paling banyak memberi manfaat kepada sekalian manusia. Baginda juga tidak pernah meninggikan suaraa dalam majlis.
  • Sesungguhnya Nabi SAW adalah orang yang palig fasih dan manis berkata-kata. Baginda tidak pernah berkata perkara yang sia-sia.
  • Sesungguhnya Nabi SAW  apabila berkata-kata perkataannya sedap didengar dan teratur bak mutiara yang indah.
  • Sesungguhnya Nabi SAW hanya bercakap atas kebenaran tidak kira di saat marah ataupun tidak. Baginda tidak pernah menggunakan perkataan keji, kasar atau kesat.
  • Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa mengajar dan memberi nasihat dengan bersungguh-sungguh. Baginda paling banyak tersenyum dihadapan sahabatnya dan terkadang ketawa sehingga nampak gigi hadapannya. Baginda juga mendengar cerita sahabatnya dengan bersungguh-sungguh.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak memilih makanan dan makanan yang paling baginda sukai ialah makanan yang dimakan bersama dengan ramai orang.
  • Sesungguhnya Nabi SAW tidak memakan makanan panas. Sabdanya makanan panas tidak mempunyai berkat.

Sesungguhnya adab nabi SAW yang tersangat mulia sangatlah banyak amatlah sedikit yang dapat saya sebut disini yang telah dipetik dari sirus salikin. Bersama-samalah kita berusaha untuk memperbaiki diri kita agar kita tidak menyesal di sana nanti.

ShoutMix chat widget